Wednesday, May 7, 2008

Pencapaian Akhlak Pelajar Madrasah

Dapatan akhlak Pelajar SMAR Negeri Johor
PERANAN SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT DALAM MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK DI NEGERI JOHOR


Mohd Hairudin Amin ,Prof.MadyaDr Ismail Bakar, Ezad Azraai Jamsari &
Dr.Wan Kamal Mujani
ABSTRAK

Kertas ini akan membincangkan perkembangan Sekolah Menengah Agama Rakyat di Negeri Johor dan sumbangannya terhadap penghayatan akhlak di kalangan pelajarnya. Metodologi kajian ini berdasarkan kaedah kepustakaan dan lapangan. Bagi memberi penerangan yang lebih jelas pengkaji akan menerangkan jenis-jenis sekolah Agama yang sedang beroperasi di negeri Johor seterusnya akan memfokuskan Sekolah Menengah Rakyat sebagai fokus kajian. Negeri Johor telah mempunyai sistem pendidikan agama semenjak pertengahan abad ke 19 lagi. Manakala pihak kerajaan negeri Johor telah mula mengendalikan pendidikan agama seawal tahun 1895 apabila Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor di tuliskan. Kajian lapangan berbentuk soal selidik jenis tertutup juga telah dijalankan untuk mengetahui sejauh mana sumbangan Sekolah Menengah Agama Rakyat di negeri Johor dalam penghayatan akhlak di kalangan diri pelajar. Soal selidik tertumpu ke atas 373 responden Tingkatan Lima, dari lima belas buah sekolah bandar dan luar bandar. Dapatan soal selidik menunjukkan bahawa penghayatan akhlak pelajar dari aspek akhlak peribadi adalah tinggi ( min =3.80), sementara aspek sosial adalah sederhana ( min =3.66), penghayatan akhlak dari aspek keagamaan pula adalah tinggi ( min =3.85). Begitu juga dari aspek akidah, dapatan menunjukkan kefahaman dan amalan pelajar dari konstruk akidah pelajar adalah tinggi ( min = 4.62). Secara umumnya hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa penghayatan akhlak pelajar di sekolah Menengah Agama Rakyat di Negeri Johor adalah tinggi dengan purata ( min = 3.98 ). Kesimpulannya dalam kajian ini mendapati pembinaan akhlak pelajar di Sekolah Menengah Agama Rakyat di Negeri Johor adalah tercapai. Ini menjelaskan kepada umum bahawa Sekolah Menengah Agama Rakyat terbukti memberi sumbangan ke arah menghasilkan modal insan yang berakhlak di negeri Johor.

PENDAHULUAN

Pendidikan akhlak amat penting dalam kehidupan manusia. Akhlak lebih bersifat menyeluruh dan sempurna yang melibatkan hubungan dengan pencipta, sesama insan dan alam sekeliling. Akhlak akan lahir dari jiwa dan bagi umat Islam akhlak bukan sekadar dinilai oleh manusia, tetapi yang lebih penting oleh Allah SWT. Berbeza dengan moral dan etika adalah tingkah laku yang disusun oleh manusia dan dinilai oleh manusia itu sendiri. Malah ia tidak melibatkan aspek ketuhanan. Pembangunan seimbang dan sepadu adalah hasil daripada kekuatan jiwa dan rohani serta kekuatan akal. Jika manusia hanya mengejar materialistik, mementingkan kemewahan dan hidup kebendaan semata-mata, maka bukan sahaja penyakit-penyakit moden seperti darah tinggi, jantung dan sebagainya tetapi lebih parah penyakit hatinya. Manusia yang mempunyai penyakit hati akan terpancar dari perbuatannya seperti bunuh, rompak, rasuah, penipuan dan sebagainya.
Ini menunjukkan bahawa akhlak adalah suatu yang sangat penting kepada seseorang , samada ia seorang lelaki atau perempuan, tua mahupun muda, pelajar agama atau pun bukan, selagi ia seorang manusia maka akhlak adalah penting untuk kebaikan diri, masyarakat dan negaranya. Seringkali kita melihat kepentingan akhlak dan persoalannya mengatasi dari kepentingan intelektual seseorang sebagai contoh kerajaan telah memulakan kempen ”selamatkan Sufiah” (Utusan Malaysia 2 April 2008). Ini menunjukkan bahawa ajaran Islam dan persoalan akhlak adalah sangat penting dalam kehidupan harian dan apabila kita beralih arah ia akan menjadi satu isu yang sukar ditangani (Utusan Malaysia 2 April 2008). Bertolak dari kepentingan akhlak, disertai kesedaran masyarakat Islam setempat Sekolah Menengah Agama Rakyat telah didirikan. Kesungguhan mereka untuk melihat generasi selepas mereka terus memiliki akhlak Islamiah, maka mereka sanggup berkorban tenaga dan hartabenda bagi merealisasikan harapan mereka.

SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA DI NEGERI JOHOR

Sekolah Arab ialah satu daripada institusi pendidikan Islam yang terdapat di Johor dan ia lebih dikenali dengan nama ‘Madrasah’. Bermula pada awal tahun 1990-an, ia ditukarkan kepada nama Sekolah Menengah Agama Arab (SMA Arab) dan dikategorikan sebagai Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR). Perbezaannya dengan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) ialah dari segi bahasa penghantar sekolah ini yang kebanyakannya menggunakan bahasa Arab. Ini bermaksud SAKJ dianggap sebagai ‘Sekolah Agama Aliran Melayu’, manakala ‘Sekolah Menengah Agama (Arab)’ dianggap sebagai atau ‘Sekolah Agama Aliran Arab’. Pada hari ini, SMA (Arab) mendapat bantuan langsung daripada Kerajaan Negeri Johor dan ia turut menggabungkan bentuk pengajian agama dan akademik secara serentak. Kini terdapat sebanyak 17 buah SMA (Arab) yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Johor(MAIJ). Baki tiga sekolah lagi sekolah ini telah bersetuju menerima tawaran Kerajaan Persekutuan, menerusi KPM , untuk menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) . Ini bererti, sekolah-sekolah ini tidak lagi berada di bawah pentadbiran dan pengurusan MAIJ. Sekolah- sekolah tersebut ialah SMA (Arab) al-Attas di Ulu Tiram, SMA (Arab) Qur’an Waddin di Johor Baharu dan SMA (Arab) an-Nur di Pontian (Shamsuddin. 2006). Sementara itu, pihak Bahagian Pendidikan Agama, JAIJ telah dipertanggungjawabkan untuk merancang, mengurus, mengawal, dan melaksanakan program pendidikan di semua SMA (Arab), di samping semua SAKJ (Sekolah Agama Aliran Melayu ) berjumlah sebanyak 542 buah, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) berjumlah sebanyak lapan buah, Sekolah Rendah Agama (Arab)(SRA Arab) berjumlah sebanyak enam buah, Sekolah Tahfiz berjumlah 20 buah dan Sekolah Agama Swasta(SAS) berjumlah duabuah.

Sekolah Menengah Agama Rakyat telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam pembinaan masyarakat Melayu yang berpendidikan sama ada sebelum merdeka atau sesudahnya. Dalam memelihara agama tidak dapat dinafikan mesti melalui ilmu pengetahuan agama dan ilmu-ilmu yang berkaitan. Agama pula diterjemahkan melalui penghayatan agama dan akhlak. Ini dengan jelas memberitahu kita dengan wujudnya madrasah-madrasah ini akan menjadikan pelajarnya berpengetahuan dan berakhlak. Dalam bab ini akan di huraikan hubungan antara perkembangan madrasah dan penghayatan akhlak pelajar.

Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang pernah ditubuhkan di negeri Johor.

Sebelum Merdeka;

1. Madrasah Abdul Aziz al-Shinie Johor Bahru (1912)
2. Madrasah Buloh Kasap Segamat.
3. Madrasah Arabiah Bagan, Batu Pahat.
4. Madrasah al Attas al-Arabiyyah al-Islamiyyah, Johor Bahru. (1913)
5. Madrasah al- Khairiyah Bandar Penggaram.
6. Madrasah Al Khairiyyah Parit Jamil (1918)
7. Madrasah Hj Taib Muar. (1925)
8. Madrasah Maharani Islamiah Muar.(1938)
9. Madrasah Arabiah Parit Jawa.
10. Madrasah Arabiah Abbasiah Dato’ Hj Kosai.
11. Madrasah Saa’diah, Muar.
12. Madrasah al- Arabiyyah Jami’ah al-Islamiyyah ,Segamat.
13. Madrasah Tarbiyah Islamiyah Parit Raja, Batu Pahat (6 Jun 1941)
14. Madrasah al-Shams al- Diniyyah, Kundang Ulu, Muar.(1942)
15. Madrasah Arabiyyah Kluang. (8 Mei 1946)
16. Madrasah Arabiah Segamat. (1946)
17. Madrasah Al Khairiyah Al Islamiyah, Mersing. ( 1951)
18. Madrasah Bugisiah Tampok, Pontian. (1956)

Selepas Merdeka;

1. Sekolah Arab Bandar Pontian (15 ogos 1958)
2. Madrasah al-Lughatul al- Arabiyyah, Tangkak. (1 Oktober 1959)
3. Madrasah Jawahirul Ulum Senggarang Batu Pahat ( 16 Mei1961)
4. Madrasah Loghatul Quran Muar ( 20 Ogos 1961)
5. Madrasah al-Tarbiyyah,Al Islamiyah , Batu Pahat.(26 September 1963)
6. Madrasah Arabiah Parit Sulong ( 1 Januari 1964)
7. Madrasah At-Tanwiriyah Parit Jawa, Muar. ( 1964)
8. Madrasah Al-Qur’an Wa al-Din, Johor Bahru.(1967).
9. Madrasah Darul Ulum,Tanjung Kupang, Gelang Patah (1968)
10. Madrasah Ad-Diniah Parit Subari Muar (14 September1969).
11. Madrasah Kota Tinggi (2.1.1983)
12. Madrasah Bandar Tenggara(2.1.1989)
13. Sekolah Menengah Agama Arab An-Nur Benut , Pontian(1.1.1991)

Sebanyak 31 buah sekolah Agama aliran bahasa Arab ini pernah ditubuhkan di negeri Johor . Ini adalah beberapa buah sekolah yang dapat dikesan dan inilah yang dikategorikan sebagai sekolah agama yang asalnya dibina oleh masyarakat Islam setempat. Sekolah Menengah Agama Rakyat ini mula memainkan peranannya di negeri Johor sejak sebelum merdeka. Sebanyak lima buah sekolah yang termasuk dalam kajian ini telah didirikan sejak sebelum merdeka. Manakala selebihnya sebanyak sepuluh buah SMAR telah ditubuhkan selepas merdeka.

PEMBENTUKAN AKHLAK PELAJAR.

Dalam usaha untuk membentuk akhlak ahli masyarakat, kita memerlukan sekurang-kurangnya empat eleman iaitu ibu bapa, keluarga, sekolah dan persekitaran yang saling berganding bahu untuk membentuk seluruh persekitaran sebagai wadah pembentukan akhlak. Proses pembentukan akhlak dimulai dari akidah yang mantap, diikuti dengan perlaksanaan tanggungjawab hamba kepada pencipta iaitu ibadah khusus. Ini diikuti dengan pendidikan yang bersepadu dan seimbang iaitu pendidikan yang tidak memisahkan nilai akhlak dan kekuasaan Allah SWT. Selanjutnya akhlak itu perlu kepada proses berterusan, menjadi amalan kepada setiap muslim. Keluarga dan persekitaran yang positif diperlukan untuk memantapkan peribadi pelajar di samping peranan ketua masyarakat sebagai teladan. Inilah peranan yang telah diketengahkan oleh SMAR dengan persekitaran keagamaan dibentuk untuk mereka. Kesediaan SMAR menerima pelajar yang telah melebihi umur standard yang biasanya adalah lepasan atau gagal dalam peperiksaan PMR, SPM dan sekolah swasta, merangkumi pelajar yang memiliki pencapaian yang rendah dalam peperiksaan UPSR serta gagal untuk memasuki mana-mana sekolah menengah aliran agama seperti SMKA dan SMAN merupakan suatu yang sangat dipuji.


Dari dapatan ini dapat difahamkan bahawa pencapaian asas akidah mendapat min tertinggi (4.62) berbanding dari tiga konstruk yang lain. Ini barangkali adalah berkaitan pelajar-pelajar ini telah memahaminya sejak usia masih kecil kerana rata-rata mereka telah bersekolah agama kerajaan Johor separuh masa sama ada pagi atau petang. Jadi konsep asas tentang fardu Ain telah dapat difahami dari awal lagi. Konstruk kedua tinggi ialah penghayatan akhlak agama yang mendapat (min=3.8). Sekalipun ia menunjukkan tahap penghayatan yang sederhana tinggi namun ia masih berkait dengan faktor keagamaan. Begitu juga bila di lihat penghayatan akhlak peribadi yang mendapat min 3.8, masih juga di tahap sederhana tinggi, boleh dibuat kesimpulan iaitu pergaulan mereka dan pendedahan akhlak ketika mereka membesar menjadi pendorong kepada para pelajar ini. Akan tetapi bila dilihat penghayatan akhlak sosial hanya min = 3.66 dan nilaian yang dapat diberi ialah sederhana rendah maka kita dapat saksikan bahawa pergaulan, persahabatan dan persekitaran mereka memerlukan pembetulan dan bimbingan dari berbagai sudut.


Analisis terhadap penghayatan akhlak secara keseluruhan seperti yang dipaparkan dalam Jadual 4.23 di atas menunjukkan sebahagian iaitu ( 64 item = 48.85 % ) penghayatan akhlak di kalangan responden adalah pada tahap sederhana tinggi. Manakala (57 item = 43.51 %) pula pada keseluruhannya adalah pada tahap tinggi dan hanya sebahagian kecil sahaja iaitu ( 9 item = 6.87 %) sahaja adalah pada tahap sederhana rendah. Hanya satu item sahaja yang mewakili 0.76 % mewakili tahap rendah. Analisis peratusan menurut tahap penghayatan mengikut kategori akhlak pula menunjukkan bahawa sebahagian besar tahap penghayatan tinggi akhlak keseluruhan disumbangkan oleh asas akidah , akhlak sosial dan agama. Di samping itu penyumbang besar kepada penghayatan sederhana tinggi akhlak keseluruhan adalah dari penghayatan akhlak peribadi, akhlak sosial dan akhlak agama. Walau bagaimanapun , tahap penghayatan sederhana rendah dan rendah secara keseluruhannya pula banyak disumbangkan oleh kategori akhlak peribadi dan sosial.


Analisis ini juga menggambarkan bahawa responden dalam kajian ini mempunyai tahap kecenderungan penghayatan akhlak yang tinggi dan sederhana tinggi dalam kesemua aspek penghayatan akhlak yang telah di uji terhadap mereka. Pada masa yang sama, dapatan ini menunjukkan penghayatan akhlak responden pada tahap sederhana rendah disumbangkan dari sebahagian kecil dari aspek penghayatan akhlak yang bersifat peribadi dan sosial. Kesimpulannya tahap penghayatan akhlak responden masih tetap berada di tahap tinggi dan sederhana tinggi dalam ke empat-empat konstruk yang berkaitan.

4.6 RINGKASAN HASIL SOAL SELIDIK

Tinjauan terhadap tahap penghayatan akhlak di kalangan responden dalam kajian ini mendapati bahawa penghayatan akhlak secara keseluruhannya berada pada tahap yang tinggi. Manakala tinjauan yang terperinci telah mendapati wujudnya pola-pola tertentu dalam penghayatan akhlak di kalangan responden dalam kajian ini. Dua pola utama yang kelihatan menonjol tentang tahap penghayatan akhlak yang tinggi di kalangan responden kajian ini adalah jenis-jenis akhlak yang berkait dengan prinsip-prinsip asas akidah Islam dan perintah agama yang dimaklumi secara meluas; dan jenis-jenis akhlak atau adab Islam yang sudah meresap secara meyeluruh dalam amalan keluarga dan masyarakat. Manakala tahap penghayatan akhlak yang rendah pula ialah berkaitan dengan kesungguhan menjaga waktu solat dan adab pergaulan dalam konteks hidup bermasyarakat. Keakuran yang rendah terhadap kewajipan rukun Islam kedua ini mungkin mendedahkan responden kepada perkara-perkara yang keji dan mungkar ( al-Ankabut 29:45). Dalam kajian ini juga menjelaskan tentang pentingnya persekitaran dan persahabatan, untuk mendorong pelajar menghayati akhlak kepada tahap yang lebih tinggi. Di sinilah terletak pentingnya institusi SMAR dalam menyumbang pembinaan dan penghayatan akhlak pelajar sehingga menjadi pegangan dalam kehidupan mereka dalam proses rebung menjadi buluh. Dengan proses yang teratur, berdisiplin dan berlandaskan kehendak Allah, para lepasan SMAR diharapkan akan menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan tanah air di masa akan datang. Sehubungan dengan itu modal insan yang dicanangkan oleh kerajaan kini akan dapat disumbangkan bersama oleh mereka yang sedang belajar di SMAR dengan syarat, beberapa pembetulan dan pembaikan mesti dilakukan oleh semua pihak demi untuk menaikkan martabat SMAR di Malaysia.

4.7 KESIMPULAN

Perkembangan Sekolah Menengah Agama Rakyat dari selepas merdeka hingga kini memperlihatkan perkembangan yang sangat baik sama ada dari segi pembangunan dan juga pengisian nya terutama berkaitan kurikulum dan kokurikulumnya. Sumbangan yang sangat besar telah dibuat untuk masyarakat Islam sejak merdeka. Sambutan juga sangat menggalakkan dari masyarakat Melayu Islam di negeri Johor. Cadangan untuk didaftarkan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada tahun 2004 juga masih di peringkat rundingan hingga kini. Tinjauan melalui temu bual dengan ibu bapa, guru dan pengetua, di dapati mereka tetap mahukan supaya SMAR menjadi institusi yang mengekalkan kurikulum agama sedia ada dan kurikulum kebangsaan mengikut keperluan. Kajian mengenai penghayatan mengikut kategori akhlak pula menunjukkan sebahagian besar tahap penghayatan akhlak keseluruhan, adalah pada tahap tinggi dan disumbangkan oleh kategori akhlak peribadi, agama dan akidah, manakala akhlak sosial pula berada pada tahap penghayatan sederhana tinggi. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penghayatan akhlak pelajar-pelajar yang sedang belajar di SMAR di negeri Johor adalah mencapai hasrat ibu bapa mereka iaitu, agar anak-anak mereka menghayati akhlak agama Islam dalam kehidupan seharian mereka.

No comments: